DADAH, wang tunai dan beberapa peralatan lain yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
DADAH, wang tunai dan beberapa peralatan lain yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dibayar sehingga RM6,000 sebulan bagi memastikan bekalan sampai kepada tokan atau pengedar dadah di daerah ini.

Itu gaji lumayan diberikan sindiket pengedaran dadah kepada seorang penganggur berusia 27 tahun bagi memastikan bekalan barangan haram itu sampai kepada sasaran mereka.

Bagaimanapun, kelicikan lelaki terbabit dan modus operandi digunakan sindiket pengedaran dadah itu terbongkar apabila 'sarang' atau lokasi penyembunyian barangan haram itu di Kondominium Alam Damai, di sini, diserbu jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, penahanan suspek membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah.

"Hasil pemeriksaan awal terhadap suspek, polis menemukan satu paket plastik ketamin dalam poket seluar suspek.

"Pemeriksaan lanjut di rumahnya pula menemukan enam paket ketamin, tujuh paket juice dan satu paket ecstasy yang disembunyikan di ruang tamu dan bilik utama rumah lelak itu," katanya hari ini.

Habibi berkata, siasatan mendapati, semua dadah yang berjaya dirampas dipercayai untuk diedarkan kepada pengedar dadah di kawasan sekitar bandaraya ini.

Katanya, dadah jenis ketamine yang dirampas iaitu 87.89 gram, serbuk ecstasy sebanyak 6.38 gram dan 781.59 gram serbuk dadah jenis Juice dianggarkan bernilai RM11,971.

"Kita percaya semua dadah yang dirampas berupaya memenuhi hampir 1,051 penagih. Siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang sindiket pengedaran dadah untuk menghantar bekalan dengan upah sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif ketamin.

"Kita turut merampas kereta Toyota 86 dan Toyota Hilux bersama wang tunai sebanyak RM3,000," katanya.

Habibi berkata, jumlah keseluruhan harta sitaan yang dirampas dianggarkan RM353,000.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 2:35 PM