Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Malaysia dijangka dapat melandaikan lengkuk kes positif Covid-19 dengan hanya dua digit hujung Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu dijangka dapat dicapai berdasarkan data yang dikumpul Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, setakat ini Malaysia sudah menunjukkan trend penurunan selepas pendekatan kesihatan awam yang lebih agresif di lapangan dilaksanakan.

"Kini KKM melaksanakan dua strategi iaitu kesihatan awam dan vaksinasi untuk melandaikan lengkuk kes positif Covid-19.

"Jangkaan kajian luar negara bahawa Malaysia bakal merekodkan 20,000 pada Mac ini juga tidak berlaku dan kes dapat dikawal dengan baik," katanya dalam katanya dalam Sesi Libat Urus Ketua Pengarah Kesihatan Bersama Media, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia akan berjaya mendapat imuniti berkelompok sekiranya 70 hingga 80 rakyat sudah divaksin.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, tempoh enam hingga sembilan bulan perlu diambil.

"Apabila kita mencapai imuniti berkelompok, mungkin ada kelonggaran dibenarkan seperti rentas negeri dan ke luar negara.

"Malaysia juga akan berbincang dengan negara jiran lain untuk membolehkan adakah mereka yang sudah divaksin masih perlu dikuarantin," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan tidak memberikan kebenaran kepada syarikat untuk mengkomersialkan vaksin kepada orang ramai.

Katanya, sehingga kini vaksin Covid-19 diberikan kepada percuma kepada rakyat Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 8:40 PM