Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Program berbentuk mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) dibenarkan berlangsung di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 5 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Jawatankuasa Teknikal PKP bersetuju terhadap permohonan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) itu.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini memberi kebenaran menganjurkannya di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) mulai semalam dengan kehadiran tetamu sebanyak 50 peratus daripada kapasiti premis.

Katanya, Motac membentangkan bahawa hasil daripada industri MICE bagi 2020 menurun kepada RM2.25 bilion iaitu berkurangan sehingga 90 peratus berbanding 2019, yang menyumbang RM9.25 bilion kepada ekonomi negara.

Selain itu, lebih 5,000 pekerja hilang pekerjaan dan pemain industri berhadapan gulung tikar dalam masa terdekat.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

"Selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka kita bersetuju untuk membenarkan aktiviti MICE serta mesyuarat bersemuka di kawasan PKP dengan had kehadiran 25 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 250 orang atau mana yang lebih kecil dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal serta prosedur operasi standard (SOP) lain.

"Bagi pandangan saya, lebih mudah buat kawalan di kawasan tertutup supaya keluar masuk dapat dikawal sebaiknya," katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan tidak pernah melarang pembukaan hotel, resort dan homestay.

"Saya nak perjelaskan sekali lagi bahawa hotel atau yang berkaitan dengannya seperti resort termasuk homestay tidak pernah ada larangan untuk pembukaan, mungkin pengusaha hotel dan homestay tidak buka.

"Kerajaan tidak pernah keluarkan arahan untuk tutup hotel atau penginapan sama ada di kawasan PKP, PKPB atau PKPP," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui penutupan itu kemungkinan jumlah tetamu tidak ramai berbanding sebelum PKP sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 7:12 PM