PENGUSAHA bas sekolah. FOTO arkib NSTP
PENGUSAHA bas sekolah. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Meskipun kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah mulai 1 Mac ini, pengusaha bas sekolah masih terhimpit apabila perkhidmatan itu gagal mendapat sambutan dalam kalangan ibu bapa.

Pengusaha bas mendakwa, kebanyakan mereka tidak boleh meneruskan operasi kerana ibu bapa dipercayai memilih untuk menghantar sendiri anak ke sekolah bagi mengelak pergaulan dalam bas.

Malah, ada ibu bapa mungkin membelikan kenderaan kepada anak masing-masing kerana dipercayai lebih selamat berbanding menggunakan bas yang terpaksa bercampur dengan ramai orang dalam usaha mengelak penularan Covid-19.

Ketika pengumuman pembukaan sekolah, ternyata berita itu menggembirakan pengusaha bas, namun sebaik mendapat reaksi daripada hampir kebanyakan ibu bapa yang tidak lagi mahu menggunakan perkhidmatan bas sekolah, ternyata duka mereka terus berpanjangan.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan (PBSK), Wan Mohamad Nuhairi Wan Hamat berkata, sekiranya hanya beberapa pelajar sahaja mahu menggunakan bas sekolah, semestinya mereka tidak mampu menanggung kos operasi.

Katanya, disebabkan tidak mendapat sambutan, mereka tidak membuat sebarang persediaan untuk pembukaan sekolah bermula Isnin ini bagi mengelak terpaksa menanggung kerugian.

"Bayangkan untuk buat persediaan termasuk menukar bateri, tayar dan servis kenderaan membabitkan kos perbelanjaan ribuan ringgit.

"Jadi, semestinya kami semua tidak mahu mengambil risiko kerugian dengan membelanjakan ribuan ringgit, namun bas tidak boleh beroperasi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, di Kelantan, terdapat 214 pengusaha bas dan disebabkan pandemik Covid-19 sejak setahun lalu, hampir sebahagiannya sudah menjual kenderaan itu kerana tidak mampu menampung kos operasi.

"Kami bayangkan duka yang terpaksa ditanggung sejak setahun lalu berakhir dengan pembukaan sekolah, namun rupanya ia berpanjangan.

"Kami tidak menyalahkan ibu bapa kerana masing-masing mahukan yang terbaik untuk anak mereka," katanya yang berharap kerajaan negeri tampil membantu mereka.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 5:35 PM