Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan (dua dari kanan) menyampaikan bantuan barangan dapur kepada pengusaha bas sekolah sambil disaksikan Mohd Rofik Mohd Yusof (kanan) di Seremban, petang ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan (dua dari kanan) menyampaikan bantuan barangan dapur kepada pengusaha bas sekolah sambil disaksikan Mohd Rofik Mohd Yusof (kanan) di Seremban, petang ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Setakat petang ini, tidak sampai 10 peratus pengusaha bas sekolah di seluruh negara yang menerima maklum balas daripada ibu bapa untuk menggunakan bas sekolah esok," kata Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof.

Beliau berkata, itu isu yang dihadapi pengusaha bas sekolah menjelang sesi persekolahan bersemuka membabitkan murid prasekolah, tahun satu dan dua yang akan bermula esok.

Katanya, terdapat 21,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara, namun sebahagian besar daripada mereka sudah bertukar kerja untuk meneruskan kehidupan kesan daripada penularan wabak Covid-19.

"Melihat sambutan ibu bapa terhadap perkhidmatan bas sekolah bagi sesi persekolahan kali ini, jauh berkurangan kerana setakat petang ini tidak sampai 10 peratus atau sekitar 2,000 permohonan.

"Pembukaan sekolah secara berperingkat juga membimbangkan pengusaha kerana ia bermaksud penurunan penumpang dan pendapatan berbanding sebelum ini.

"Menyedari situasi itu, pengusaha bas sekolah belum begitu berani untuk memulakan industri ini kerana mereka khuatir daripada sambutan daripada ibu bapa," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian sumbangan barangan makanan oleh Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kepada ahli Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) di sini, petang tadi.

Seramai 30 pengusaha bas sekolah menerima bantuan itu yang disampaikan Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan.

Mengulas lanjut, Mohd Rofik yang juga Pengerusi PPBSNS berkata, pengusaha bas sekolah sudah tentu tidak mahu menanggung kerugian yang besar jika beroperasi tanpa penumpang.

Beliau berkata, pihaknya juga sedar, ibu bapa sendiri belum berani untuk menggunakan perkhidmatan bas sekolah, berikutan situasi Covid-19 yang belum reda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:51 PM