Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis Kelantan mengeluarkan lebih 52,000 surat kebenaran rentas daerah dan negeri kepada golongan yang dibenarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu, bermula 16 Januari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata surat berkenaan dikeluarkan terutama kepada pekerja yang tiada majikan dan bekerja sendiri susulan kerajaan membenarkan golongan terbabit menjalankan tugas seperti biasa.

Katanya, jumlah itu juga turut membabitkan pengeluaran surat kebenaran kepada individu yang menjalankan khidmat menghantar makanan yang dibenarkan bagi tujuan pergerakan ekonomi mereka.

"Bagaimanapun, pada minggu kedua PKP pihak kami mendapati jumlah permohonan surat ini berkurangan berbanding pada tiga hari pertama PKP dilaksanakan di negeri Kelantan. Malah, sebelum ini kita boleh melihat ramai yang datang ke balai-balai untuk memohon surat berkenaan.

"Selain itu, sekatan jalan raya (SJR) masih dikekalkan di 19 lokasi dan ia mencukupi setakat ini, namun pihak polis menambah anggota sebagai pasukan pemantau untuk penugasan kawalan di lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan negara.

"Pasukan pemantau akan berada di setiap lokasi yang ditetapkan termasuk sekitar sempadan negeri bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal terutama ketika pendemik Covid-19 ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program First Day at School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat di bandar bagi mengelak penularan wabak daripada terus berleluasa.

KETUA Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat (empat dari kiri) melihat kehadiran pelajar sempena program First Day at School di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KETUA Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat (empat dari kiri) melihat kehadiran pelajar sempena program First Day at School di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Justeru, strategi pihak kami selepas ini adalah untuk 'masuk' ke kawasan kampung pula memandangkan menerima maklumat bahawa masih ada golongan yang tidak bertanggungjawab membuka gerai untuk pelanggan makan di kedai mereka.

"Saya berharap masyarakat di kampung juga dapat mematuhi segala SOP yang ditetapkan untuk kebaikan bersama kerana wabak ini boleh menular tidak kira tempat malah sudah banyak kes yang ada di kawasan pedalaman dan terpencil.

"Marilah kita jaga kita, untuk memutuskan rantaian Covid-19 selain pihak polis juga memerlukan kerjasama baik dengan orang awam dalam melancarkan tugasan sepanjang pendemik ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 10:44 AM