PENGAWAS peperiksaan membawa papan tanda amaran semasa calon menduduki SPM ketika tinjauan di SMKA Dato Haji Abbas. FOTO Ghazali Kori
PENGAWAS peperiksaan membawa papan tanda amaran semasa calon menduduki SPM ketika tinjauan di SMKA Dato Haji Abbas. FOTO Ghazali Kori
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pengalaman dan keperitan sepanjang menjalani rawatan selepas disahkan positif Covid-19 tidak menghalang dua calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, hari ini.

Walaupun hanya sempat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka selama 10 hari sebelum sekolahnya diarahkan tutup susulan dia dan rakan serta seorang gurunya disahkan positif wabak berkenaan, mangsa mengakui situasi itu tidak sedikitpun mengganggu emosinya.

Menurutnya yang enggan dikenali, sebagai persediaan menduduki peperiksaan, dia dan rakannya mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang melalui proses rawatan selama 14 hari mulai akhir bulan lalu.

"Selepas disahkan sihat, saya dan rakan tidak pulang ke rumah, sebaliknya memilih untuk menetap di asrama sekolah bagi meneruskan mengikuti PdPR bersama 18 lagi rakan yang terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah.

"Dorongan daripada guru, rakan dan doa ibu bapa menyemarakkan semangat kami melangkah ke dewan peperiksaan hari ini," katanya ketika ditemui.

Selain dia dan rakan, gurunya turut disahkan positif Covid-19 sehingga menyebabkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini, terpaksa ditutup manakala empat lagi rakannya yang tidak tinggal di asrama terpaksa menjalani proses rawatan, tetapi disahkan negatif.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani mengesahkan tiada calon peperiksaan SPM 2020 yang terpaksa menangguhkan peperiksaan disebabkan sedang menjalani rawatan selepas dijangkiti Covid-19.

Katanya, pihaknya tidak menerima laporan ada antara calon SPM 2020 terpaksa menjalani proses kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat kepada pesakit.

"Saya dimaklumkan, calon SPM yang disahkan positif Covid-19 sudah sembuh selepas menjalani rawatan dan dapat mengikuti peperiksaan hari ini," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tok Jiring, Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Salim berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pengurusan sekolah dan calon SPM 2020.

Beliau berkata, seramai 18,743 orang termasuk calon SPM 2020 persendirian menduduki peperiksaan di 169 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 2:28 PM