FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki berusia 100 tahun mangsa terbaharu yang terkorban akibat Covid-19 daripada 22 jumlah kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, pesakit ke 267,710 itu berasal dari Selangor meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, lelaki terbabit juga mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan asma.

"Kes kematian pada hari ini membabitkan lapan kes di Selangor, empat kes di Sabah, tiga kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua kes di Sarawak dan Perak serta satu kes di Negeri Sembilan, Kedah, dan Johor.

"Kesemua kes kematian membabitkan warganegara. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit lain meninggal dunia itu turut ada yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti kencing manis, rheumatoid arthritis, osteoarthritis, darah tinggi, dislipidemia, obesiti, jantung, buah pinggang kronik, tuberkulosi, asma dan angin ahmar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:35 PM