PETUGAS kesihatan mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas penduduk sekitar yang hadir di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang.
PETUGAS kesihatan mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas penduduk sekitar yang hadir di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Minggu yang penuh harapan! Kes harian baharu semakin menurun sepanjang rangkuman mingguan 13 Februari-18 Februari) dan bekalan vaksin syarikat Pfizer-BioNTech dijangka tiba esok.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama pada hari pelancaran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada 26 Februari ini.

Program menyeluruh dibuat dalam tiga fasa ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam masyarakat tempatan supaya dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan koronavirus maut ini.

Selain jumlah kes harian menurun daripada lingkungan lima ribu dan empat ribu kepada sekitar tiga ribu dan dua ribu setakat ini, jumlah kes sembuh harian mencatat kenaikan tinggi.

Jumlah kes sembuh tertinggi setakat ini 5,718 kes, dilaporkan pada 16 Februari.

Kelmarin, 18 Februari, kes sembuh direkod 5,320 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit pulih daripada Covid-19 kini 235,082 (85.5 peratus).

Rekod kes sembuh harian sepanjang rangkuman mingguan 13 Februari hingga 18 Februari 2021 adalah 3,515 kes (13 Februari), 4,525 kes (14 Februari), 4,521 kes (15 Februari), 5,718 kes (16 Februari), 5,709 kes (17 Februari) dan 5,320 kes (18 Februari).

Kelmarin, Khamis 18 Februari 21, jumlah kes harian baharu Covid-19 melegakan iaitu 2,712 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 di Malaysia semalam (18 Februari) berkata, daripada jumlah 2,712 kes itu, 2,708 kes adalah penularan tempatan dan empat (4) kes import.

Sebanyak 1,588 kes atau 58.6 peratus daripada kes penularan tempatan terdiri daripada warganegara sementara 1,120 kes ( 41.4 peratus) adalah bukan warganegara.

Dengan 2,712 kes baharu, jumlah kes kumulatif Covid-19 di Malaysia kini 274,875 kes, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 38,763 kes.

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan 13 Februari hingga 18 Februari 2021 adalah 3,499 kes (13 Februari), 2,464 kes (14 Februari), 2,176 kes (15 Februari), 2,720 (16 Februari), 2,998 kes (17 Februari) dan 2,712 kes (18 Februari).

Dengan rekod kes kumulatif 274,875 kes, Malaysia kini berada di tangga 45 dalam senarai 216 buah negara dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Slovakia dengan 285,419 kes.

Negara China melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung 2019 di tangga 84 dengan 89,816 kes sementara negara jiran Singapura di tangga 94 dengan 59,832 kes.

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 18 Februari berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 18 Februari 2021 untuk seluruh negara adalah 0.90.

Malaysia dikejutkan dengan kes harian baharu Covid-19 melebihi lima ribu tiga hari berturut-turut iaitu pada 29 Januari 2021 (5,725 kes), 30 Januari 2021 (5,728 kes) dan 31 Januari 2021 (5,298 kes).

Pada 9 Februari, kes harian baharu menurun di bawah tiga ribu iaitu 2,764 kes. Kali terakhir Malaysia mencatat kes harian baharu sekitar dua ribu pada 13 Januari iaitu 2,985 kes.

Kluster Tempat Kerja (KTK) terus menguasai senarai kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini (13 Februari-18 Februari).

Kluster ini, antaranya, sama ada hasil saringan bersasar, hasil saringan kontak rapat, hasil saringan individu bergejala dan hasil saringan sebelum pulang ke negara asal. Program saringan besar-besaran dilakukan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan tapak binaan bermula 1 Disember 2020.

Berdasarkan perangkaan KKM, Selangor dan Johor masih melaporan KTK yang banyak, melibatkan kilang dan tapak bina.

Sehingga Khamis 18 Februari 2021, jumlah kluster Covid-19 dalam negara adalah 1,045 kluster dan 539 kluster daripadanya dilaporkan tamat.

Jumlah kluster masih aktif sebanyak 506 kluster dan 94 kluster daripadanya merekod pertambahan kes baharu. Tiga kluster dilaporkan menambah kes baharu tertinggi, Kluster Kebun Baru (188 kes), Kluster Jalan Changkat Jong (158 kes) dan Kluster Selambau (155 kes).

Kluster Kebun Baru (KTK) mula dilaporkan pada 24 Disember 2020, melibatkan daerah Kuala Langat di Selangor, hasil saringan bersasar sebuah kilang.

Kluster Selambau (KTK) diumumkan KKM pada 12 Februari 2021 melibatkan daerah Kuala Muda di Kedah, hasil saringan bersasar pekerja kilang yang menetap di Bukit Selambau, Mukim Teloi Kiri, Kuala Muda.

Sementara itu, 17 kluster baharu dilaporkan semalam (18 Februari), melibatkan 14 kluster berkaitan tempat kerja (KTK), dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, keagamaan dan komuniti.

Antara KTK merekod kes positif Covid-19 yang tinggi semalam adalah Kluster Jalan Changkat Jong, melibatkan daerah Hilir Perak dan Perak Tengah, hasil saringan bersasar pekerja sebuah syarikat. Daripada 471 individu yang disaring, 166 kes dikesan positif Covid-19.

MALAYSIA masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari hingga bulan Ogos 2021.
MALAYSIA masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari hingga bulan Ogos 2021.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 13 Februari-18 Februari 2021 adalah seperti berikut:-

Sabtu 13 Februari - 10 (9 KTK) Ahad 14 Februari - 11 (9 KTK), Isnin 15 Februari - 13 (10 KTK), Selasa 16 Februari - 19 (14 KTK), Rabu 17 Februari - 13 (10 KTK) dan Khamis 18 Februari - 17 (14 KTK).

Menurut perincian KKM terhadap 2,712 kes positif dilaporkan pada 18 Februari 2021, Selangor di tempat teratas, menyumbang 1,013 kes. Selangor juga melaporkan lima kluster baharu.

Johor 426 kes termasuk dua (2) kes import dan lima kluster baharu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 212 kes termasuk satu kes import dan satu kluster baharu, Sarawak 200 kes dan satu kes import, Perak 198 kes dan satu kluster baharu.

Kedah 182 kes, Sabah 114 kes dan dua kluster baharu, Negeri Sembilan 81 kes, Pulau Pinang 116 kes dan satu kluster baharu, Pahang 52 kes dan satu kluster baharu, Kelantan 43 kes, Melaka 38 kes, Terengganu 19 kes, Wilayah Persekutuan Putrajaya tujuh (7) kes, Perlis enam (6) kes dan Wilayah Persekutuan Labuan lima(5) kes.

Sementara itu, 227 kes Covid-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan 103 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 25 kes kematian dilaporkan semalam (18 Februari), menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini 1,030 kes (0.37 peratus).

Daripada 25 kes itu, 15 kes di Selangor, masing-masing tiga (3) kes di Sarawak dan Sabah, dua (2) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta masing-masing satu (1) kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Sebanyak 21 kes kematian melibatkan warganegara dan empat (4) kes melibatkan bukan warganegara.

Pesakit paling muda berusia tiga tahun (perempuan/warganegara) meninggal dunia dilaporkan semalam (kes 1027) di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah. Pesakit mempunyai penyakit barah otak.

Selangor mencatat satu kematian melibatkan pesakit wanita bukan warganegara berusia 100 tahun (Kes 1028), mempunyai komplikasi penyakit darah tinggi, jantung, anemia, strok dan buah pinggang kronik.

Malaysia sebelum ini mencatat jumlah kes kematian tertinggi pada 8 Februari iaitu 24 kes dan pada Rabu 17 Februari sebanyak 22 kes.

Pesakit Covid-19 paling tua dilaporkan meninggal dunia pada 17 Februari berusia 100 tahun (Kes 1000) di Hospital Sungai Buluh dengan latar belakang penyakit darah tinggi dan asma.

Kebanyakan kes pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 seperti dilaporkan KKM ada komplikasi kesihatan, sebahagian besarnya strok, darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung. Ada juga kes penyakit dislipidemia, dementia, asma, obesiti dan anemia.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 5 kes (13 Februari), 7 kes (14 Februari), 10 kes (15 Februari), 8 kes (16 Februari), 22 kes (17 Februari) dan 25 kes (18 Februari).

Sementara itu, menurut kenyataan terkini KKM, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dibahagi kepada tiga fasa yang akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama (Februari-April 2021) melibatkan Kumpulan Utama 1, petugas barisan hadapan, merangkumi pertugas kesihatan kerajaan dan swasta; dan Kumpulan Utama 2, petugas barisan hadapan merangkumi perkhidmatan penting dan pertahanan. Kedua-dua kumpulan ini melibatkan 500,000 orang.

Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) pula dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Utama 1 melibatkan baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan, Kumpulan Utama 2 terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya (OKU). Kumpulan ini melibatkan sekitar 9.4 juta orang.

Fasa ketiga (Mei 2021 hingga Februari 2022) melibatkan penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara). Keutamaan diberi kepada zon merah, zon kuning dan kemudian zon hijau. Anggaran sasaran 13.7 juta orang/lebih.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari hingga bulan Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yangi meliputi seluruh negara kecuali Sarawak.

ANTARA KTK  merekod kes positif Covid-19 yang tinggi adalah Kluster Jalan Changkat Jong melibatkan daerah Hilir Perak dan Perak Tengah.
ANTARA KTK merekod kes positif Covid-19 yang tinggi adalah Kluster Jalan Changkat Jong melibatkan daerah Hilir Perak dan Perak Tengah.

PKP2.0 dijadualkan berakhir pada 4 Februari dan disambung sehingga 18 Februari 2021 disambung dari 19 Februari hingga 4 Mac untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

PKP Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa 19 Februari hingga 4 Mac dikenakan ke atas Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Perak, Melaka, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilaya Persekutuan Putrajaya.

Negeri Perlis diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa 19 Februari hingga 4 Mac 20221.

Jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) sebanyak 110,824,588 kes (rangkuman minggu lalu 108,359,664 kes) dengan 2,451,458 kematian (minggu lalu 2,380,497 kematian). Jumlah pesakit sembuh 85,766,178 kes (minggu lalu 80,560,520 kes).

Ada 216 negara dilanda pandemik Covid-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Turki dan Jerman.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 28,523,524 kes (505,309 kematian), India 10,962,189 kes (156,123 kematian), Brazil 10,030,626 kes (243,610 kematian), Rusia 4,125,598 kes (81,926 kematian), United Kingdom 4,083,242 kes (119,387 kematian), Perancis 3,536,648 kes (83,393 kematian), Sepanyol 3,121,687 kes (66,704 kematian), Itali 2,765,412 kes (94,887 kematian), Turki 2,616,600 kes (27,821 kematian) dan Jerman 2,372,209 kes (67,547 kematian).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 7:01 AM