TIMBALAN Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohamad Azhan Md Amir.
TIMBALAN Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohamad Azhan Md Amir.
Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mendekati masyarakat sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti di negara ini.

Program berkenaan digerakkan secara sukarela menerusi kepimpinan komuniti sedia ada dan sukarelawan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di dalam sesebuah komuniti.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) NADMA Mohamad Azhan Md Amir berkata, pelaksanaan Kempen Pemerkasaan Komuniti Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) itu sebagai usaha membendung penularan pandemik dalam kalangan komuniti.

Menurutnya, program itu mensasarkan pembabitan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pimpinan komuniti dan NGO sebagai barisan hadapan bagi menjaga keselamatan kesihatan masyarakat.

"Selain pemantauan anggota Rela dan APM, program sukarela ini akan digerakkan oleh pemimpin komuniti mahupun NGO kerana lebih dekat dengan masyarakat sekali gus membolehkan mereka melakukan pemantauan serta hebahan maklumat kesihatan awam kepada komuniti setempat.

"Ia termasuk memberi teguran dan nasihat berkaitan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada ahli komuniti seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohamad Azhan berkata, pendekatan program itu bagi membolehkan ketiga-tiga kumpulan sasar berkenaan memainkan peranan menjaga keselamatan kesihatan komuniti di kawasan masing-masing.

"Di peringkat kepimpinan komuniti, struktur pengurusan dan pemantauan program berdasarkan struktur Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

"Pembentukan jawatankuasa akan mengikut kepimpinan komuniti kawasan masing-masing seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan penduduk serta badan pengurusan bersama bagi penduduk di kediaman apartmen mahupun kondominium.

"Bagi sesetengah kawasan yang dihuni oleh warga asing, kami memerlukan kerjasama daripada NGO bagi melakukan pemantauan, teguran, hebahan serta nasihat kepada komuniti di kawasan terbabit," katanya.

Menurutnya, mereka yang dilantik dalam jawatankuasa berkenaan akan dilengkapkan dengan 'arm band' serta baju T ketika melakukan pemantauan, teguran serta hebahan kepada ahli komuniti di kawasan masing-masing.

"Sekiranya ada ahli komuniti didapati melanggar SOP, mereka boleh memberikan teguran atau nasihat. Namun, sekiranya mereka (ahli komuniti) masih berdegil, perkara itu boleh dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Tetapi mereka tidak boleh mengambil tindakan sendiri, sebaliknya perlu merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan pembabitan lebih satu juta individu terbabit dalam program berkenaan bagi ketiga-tiga kumpulan sasar menjelang hujung bulan ini.

"Bermula 5 Februari lalu, seramai 500,000 hingga 700,000 anggota Rela dan APM dikerahkan ke lokasi tumpuan ramai, manakala pembentukan entiti di peringkat komuniti pula bermula 10 Februari lalu dengan pembabitan dianggarkan seramai satu 1 juta individu.

"Bagi pembabitan NGO pula, kami mengalu-alukan NGO untuk tampil bagi mengemukakan cadangan dalam mendekati masyarakat yang menjadi kumpulan sasar mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 3:29 PM