GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


DIROGOL sebanyak tiga kali sejak 2016. Itu nasib malang menimpa kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun apabila menjadi mangsa nafsu serakah datuk tirinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh ibunya kira-kira 1 tengah hari, semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis itu, mangsa memaklumkan dia dirogol datuk tirinya berusia 57 tahun sebanyak tiga kali iaitu pada 2016, 2018 dan kali terakhir pada tahun lalu.

"Mangsa adalah anak keempat daripada enam beradik dan belajar di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

"Difahamkan, ibu bapa mangsa sudah bercerai dan kanak-kanak itu tinggal bersama nenek dan datuk tirinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana pada 6 petang hari sama.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:58 PM