EMPAT penjawat awam sebuah agensi kerajaan Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan resit hotel palsu pada 2017. FOTO BERNAMA
EMPAT penjawat awam sebuah agensi kerajaan Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan resit hotel palsu pada 2017. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Kinabalu: Empat penjawat awam sebuah agensi kerajaan Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan resit hotel palsu pada 2017.

Semua tertuduh berumur lingkungan 30-an dan 40-an yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Keempat-empat mereka ialah Mohd Aizat Rosland, Suaif Ag Daud, Razilah Sahad dan Mohd Hanip Juarip.

Mengikut pertuduhan, Mohd Aizat didakwa atas dua pertuduhan berkaitan tuntutan elaun perjalanan berdasarkan kepada dua bulan tuntutan melibatkan beberapa resit hotel palsu berjumlah RM740.

Suaif dituduh atas lapan pertuduhan melibatkan tuntutan elaun perjalanan berdasarkan kepada tujuh bulan tuntutan melibatkan beberapa resit hotel palsu yang nilai keseluruhan RM3,621.

Razilah pula berdepan lapan pertuduhan tuntutan elaun perjalanan berdasarkan tujuh bulan tuntutan melibatkan resit hotel palsu dengan nilai keseluruhan RM3,497 manakala Mohd Hanip dituduh atas enam pertuduhan berkaitan tuntutan elaun perjalanan tujuh bulan tuntutan melibatkan resit hotel palsu berjumlah RM1,473.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Clement Severinus dan semua tertuduh diwakili oleh peguam Adelia Adnan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan diarah melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan.

Mohd Aizat dan Mohd Hanip masing-masing dibenar diikat jamin RM10,000 seorang manakala Suaif dan Razilah masing-masing diikat jamin dengan RM15,000 seorang.

Kesemua tertuduh membayar ikat jamin tersebut.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 8:47 PM