DATUK Dr Sha'ari Ngadiman meninjau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi PKD Petaling di Stadium Malawati, Seksyen 13. FOTO Ruwaida Md Zain
DATUK Dr Sha'ari Ngadiman meninjau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi PKD Petaling di Stadium Malawati, Seksyen 13. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan Selangor belum mengenakan sebarang kompaun ke atas mana-mana klinik atau hospital swasta di negeri ini yang lambat melaporkan kes positif Covid-19 yang diterima oleh pihak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata, (penguatkuasaan) adalah bidang kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Jadi selepas ini, saya minta klinik dan hospital swasta mendaftar pesakit positif Covid-19 di dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kalau ada pesakit didapati positif Covid-19 pada hari itu, pusat kesihatan terbabit perlu mendaftar nama pesakit terbabit di SIMKA pada hari sama dengan segera bagi mengelakkan kes lewat lapor di SIMKA kerana ia menjadi salah satu punca kes positif Covid-19 naik mendadak di Selangor, kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKNS Datuk Dr Shaa'ri Ngadiman.

Dr Mariah berkata, kerajaan negeri dalam proses untuk menyeragamkan beberapa perkara teknikal dengan JKNS, supaya koordinasi melaporkan kes Covid-19 kepada KKM secara berkesan.

"Petang ini, saya akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung beberapa perkara yang kerajaan negeri dan KKM dipersetujui," katanya.

Sementara itu, Dr Shaa'ri berkata, pada masa ini JKNS mengambil pendekatan libat urus dengan pihak klinik dan hospital swasta.

"Bagi saya kerjasama semua pihak amat penting berbanding penguatkuasaan (kompaun), jadi kerjasama ini harus dipupuk bukan melalui tindakan tetapi kita perlu muafakat..itu adalah lebih baik.

"Pada masa ini kita belum lagi kenakan kompaun kepada mana-mana klinik atau hospital swasta," katanya.

Menurutnya, bagi syarikat, industri serta kilang juga, sebelum penguatkuasaan dikenakan JKNS akan melihat pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak terbabit.

"Kita melihat SOP, adakah dilaksanakan atau tidak? Mana-mana industri yang tidak melaksanakan SOP yang betul, ada dua pilihan, sama ada dikompaun atau tutup sementara.

"Sekiranya mereka melakukan lebih daripada tiga kesalahan, mereka diminta tutup sementara manakala kompaun bagi kesalahan kurang dari tiga.

"Tindakan ini bagi memastikan industri bersama dengan kerajaan untuk memastikan mereka mematuhi SOP bukan menyeksa industri terbabit kerana industri penting," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 3:23 PM