Anggota bomba  mengusung mayat warga emas yang ditemui  meninggal duniadi ruang tamu rumahnya.
Anggota bomba mengusung mayat warga emas yang ditemui meninggal duniadi ruang tamu rumahnya.
Hadzlihady Hassan


Bukit Mertajam: Bau busuk yang dihidu penduduk membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas di ruang tamu rumahnya di Flat Desa Wawasan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, mayat Ang Ah Hoe, 65, ditemui dalam keadaan te lentang selepas anggota bomba memecah pintu utama rumahnya.

Jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Ong, 40-an berkata, dia terhidu bau busuk sejak pagi kelmarin namun menyangka ia bangkai haiwan.

Menurutnya, dia dan beberapa penduduk cuba mencari punca bau dan mendapati ia datang daripada rumah jiran yang tinggal seorang diri itu.

“Kami menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian dan sebaik pintu dipecah anggota bomba, saya lihat mayat jiran di ruang tamu rumahnya.

“Apa yang saya tahu, lelaki terbabit bekerja sebagai pengawal keselamatan selain abangnya sesekali datang menjenguknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan mendapati beberapa jiran terhidu bau busuk di rumah terbabit sebelum mereka menghubungi polis dan bomba.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba memecah pintu yang dikunci daripada dalam oleh lelaki terbabit.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia sejak empat hari lalu dan tiada unsur jenayah ditemui.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 10:17 AM