BENIH pelbagai jenis sayur bernilai hampir RM176,000 yang disita Maqis. FOTO Ihsan MAQIS
BENIH pelbagai jenis sayur bernilai hampir RM176,000 yang disita Maqis. FOTO Ihsan MAQIS
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menyita 7.4 tan benih pelbagai jenis sayur bernilai hampir RM176,000 ketika melakukan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, semalam.

Pengarah Maqis negeri Zarina Ramli berkata, pemeriksaan 5.20 petang terhadap sebuah kontena dari China masuk ke negara ini yang membawa produk pertanian itu didapati tidak mempunyai permit import yang sah.

"Pada mulanya penguat kuasa kami menjumpai 1,595 kilogram (1.6 tan) benih kubis bernilai RM29,939.25 yang didapati tidak mempunyai dokumen import permit yang sah.

"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut pada kontena sama, kami turut mengesan 5,812 kilogram (5.8 tan) benih lain seperti timun, terung, lobak putih dan kailan yang dianggarkan bernilai RM145,785.71," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kesemua barangan berkenaan kemudian dirampas untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) dan Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 6:11 PM