ANGGOTA AADK Sabak Bernam menahan salah seorang daripada dua penagih yang cuba memasuki kawasan paya bakau di Bagan Sungai Besar. FOTO Ihsan AADK Sabak Bernam
ANGGOTA AADK Sabak Bernam menahan salah seorang daripada dua penagih yang cuba memasuki kawasan paya bakau di Bagan Sungai Besar. FOTO Ihsan AADK Sabak Bernam
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Sanggup meredah selut lumpur di dalam kawasan hutan paya bakau untuk mendapatkan bekalan dadah serta melepaskan ketagihan di kawasan tersorok itu.

Walaupun daerah ini diisytiharkan zon hijau dari penagihan dadah, pelbagai cara dilakukan penagih 'tegar' bagi meneruskan aktiviti haram itu.

Terbaru, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabak Bernam mencekup dua penagih yang cuba memasuki kawasan paya bakau di Bagan Sungai Besar, di sini, semalam.

Ketua Pegawai AADK Sabak Bernam Zulazli Hashimuddin berkata, kedua-dua lelaki berusia 20 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 9 pagi hingga jam 11 pagi.

"Semasa ditahan, mereka tidak bertindak agresif dan tiada alasan diberikan (masuk ke dalam kawasan paya bakau).

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin dan methampetamine," katanya, di sini.

Beliau berkata, tiada rampasan dibuat, namun semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

"Sehubungan itu, orang ramai di sekitar daerah ini boleh menyalurkan maklumat serta aduan melalui Talian Hotline AADK di talian 03-89112233 atau 019-6262233 atau hadir ke Pejabat AADK Daerah Sabak Bernam.

"Kami turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan serta penagihan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 3:14 PM