GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Bekalan darah di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, menunjukkan penurunan terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Pakar Perubatan Unit Transfusi HTF Dr Wan Noor Falah Wan Yahaya berkata, kekurangan bekalan darah di negeri ini disebabkan pelbagai faktor, termasuk pembatalan pelbagai program kempen menderma darah antara HTF dengan masyarakat.

"Selain itu juga, ada segelintir masyarakat yang takut untuk datang ke hospital untuk menderma darah terutama pada musim PKP.

"Ada juga yang tidak tahu, walaupun PKP, mereka masih boleh terus menderma darah sebenarnya, tertakluk kepada langkah tertentu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya ketika ditemui di HTF, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan rekod kutipan bekalan darah, HTF dilihat mengalami pengurangan bekalan darah kepada 8,725 pek sepanjang Januari hingga Oktober tahun lalu berbanding 9,108 pek pada 2019.

"Sehingga Januari tahun ini sahaja, kita hanya dapat mengumpul sebanyak 649 pek sahaja berbanding keperluan kelaziman purata 700 hingga 800 pek darah setiap bulan.

"Walhal, setiap minggu kita memerlukan antara 150 hingga 200 pek bekalan darah dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, sebanyak 26.2 peratus jumlah penderma baru direkodkan sudah mulai sedar kepentingan untuk menderma darah.

"Ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap amalan menderma darah masih pada tahap yang sederhana.

"Oleh itu, kita amat memerlukan lebih ramai penderma bagi memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan mencukupi untuk keperluan pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit dan keperluan," katanya.

Unit Transfusi HTF dibuka setiap hari dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali Ahad yang mana waktu operasinya adalah sehingga 1 tengah hari.

Orang ramai yang ingin menderma darah boleh menghubungi talian 04-9738197 untuk membuat temu janji.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 3:24 PM