Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sumbangan penghantar barangan dan makanan amat besar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Bagi menghargai sumbangan kumpulan berkenaan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memperuntukkan RM24 juta bagi membiayai caruman penuh di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Setakat ini, hampir 32,000 permohonan daripada kumpulan terbabit diterima untuk perlindungan skim berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, hari ini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off atau sekali bayar sebanyak RM500 kepada pemandu pelancong dan pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa serta e-hailing.

Katanya, ia memberi manfaat kepada 14,000 pemandu pelancong dan 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.

"Kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun.

"Sukacita dimaklumkan bahawa syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi.

Katanya, melalui skim itu sebanyak 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.

"Pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.

"Jaminan sebanyak RM1 bilion akan disediakan untuk tujuan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:08 PM