DATUK Mahfuz Omar (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada penerima pencen ilat, Orang Kurang Upaya (OKU), Tan Kim Song, 57,  (dua kanan) disaksikan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) di Alor Setar, hari ini. FOTO NSTP Sharul Hafiz Zam
DATUK Mahfuz Omar (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada penerima pencen ilat, Orang Kurang Upaya (OKU), Tan Kim Song, 57, (dua kanan) disaksikan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) di Alor Setar, hari ini. FOTO NSTP Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


PEMANDU teksi, kereta sewa dan e-hailing akan dikenakan kompaun sehingga RM4,000 sekiranya masih gagal mendaftar skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selewat-lewatnya selepas Jun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemandu terbabit juga boleh didakwa sekiranya masih enggan berbuat demikian selepas mengabaikan peringatan daripada pertubuhan itu.

Bagaimanapun katanya, PERKESO tidak akan terburu-buru memberi kompaun dan mendakwa golongan pekerja terbabit sebaliknya mahu mereka mendaftar secara sukarela.

“Ini adalah pilihan terakhir yang kita akan ambil, PERKESO akan memberi kesedaran dan mendidik mereka dahulu, kita bukan nak paksa mereka tapi kita nak beri perlindungan.

“Nilai yang mereka perlu carum terlalu kecil, kalau mereka kata kita nak ambil duit mereka yang tak sampai 50 sen sehari atau hanya RM157 setahun, sedangkan kita memberi perlindungan dan jaminan untuk keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah hotel, di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, sehingga 29 Januari lalu, PERKESO hanya menerima 10,677 pendaftaran daripada pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing untuk Skim Bencana Kerja Persendirian Sendiri bawah Akta 789.

Katanya, jumlah itu masih kecil berbanding 300,000 pemandu terbabit di seluruh negara.

Sementara itu, Mahfuz berkata, skim PERKESO akan diperluaskan kepada pemandu bas yang bekerja sendiri termasuk bas sekolah, bas kilang, bas persiaran dan sebagainya.

Katanya, perluasan itu dijangka memberi perlindungan keselamatan sosial kepada lebih 40,000 pemandu bas seluruh negara.

Terdahulu, Mahfuz turut menyampaikan hamper dan angpau kepada 40 ibu tunggal, penjaga dan anak yatim.

Selain itu, seramai 10 orang menerima faedah PERKESO serta sumbangan kerusi roda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 5:00 PM