Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Polis menahan 20 individu termasuk sembilan warga China dipercayai terbabit dalam sindiket pelaburan 'Like dan Share' antarabangsa di sebuah inap desa di Ayer Tawar, di sini, Jumaat lalu.

Mereka berusia 18 hingga 45 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 9 malam, hasil risikan selama dua minggu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis menahan 11 warga tempatan membabitkan enam lelaki dan lima wanita termasuk dua remaja perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, penahanan sembilan warga China pula membabitkan enam lelaki dan tiga wanita yang dipercayai bertugas sebagai penyelia.

"Semua individu yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah, manakala sembilan warga asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Serbuan turut merampas lapan komputer riba dan 57 telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai digunakan untuk kegiatan itu," katanya pada sidang media di Seri Manjung, hari ini.

Nor Omar Sappi melihat individu yang ditahan dipercayai terbabit sindiket pelaburan 'Like dan Share' di Ayer Tawar, Manjung, Jumaat lalu. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Nor Omar Sappi melihat individu yang ditahan dipercayai terbabit sindiket pelaburan 'Like dan Share' di Ayer Tawar, Manjung, Jumaat lalu. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Nor Omar berkata, sindiket itu menggaji pekerja tempatan sebanyak RM2,000 hingga RM7,000 sebulan dan mereka sudah beroperasi dengan menyewa inap desa terbabit sejak dua bulan lalu.

Katanya, ia menyasarkan mangsa di India, di mana mereka akan menghantar mesej di Facebook dalam bahasa Cina sebelum diterjemahkan secara automatik ke bahasa Tamil.

"Setiap hantaran yang ditanda suka dan dikongsi akan mendapat 22 rupee (RM1.20), tetapi mereka perlu mendaftar dengan sejumlah wang terlebih dahulu. Pembayaran dilakukan kali pertama dan selepas itu akan berlaku penipuan.

"Kita percaya sindiket ini turut membabitkan warga India kerana akaun yang digunakan untuk transaksi adalah milik individu di negara itu," katanya.

Katanya, semua individu terbabit direman sehingga 21 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:26 PM