GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Kegiatan lima lelaki yang dipercayai mencuri sawit di sekitar Kampung Bharu dan Ayer Tawar, di sini, tidak berpanjangan apabila mereka ditahan polis dalam serbuan berasingan.

Lima lelaki berusia antara 35 hingga 50-an tahun itu ditahan di tiga lokasi pada Selasa lalu dan kelmarin di sekitar Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, penahanan suspek hasil risikan dan intipan pihaknya selepas mendapati sebuah lori masuk kawasan ladang sawit di Ayer Tawar pada 4 petang, Selasa lalu.

Katanya, intipan mendapati empat lelaki mengait buah sawit di dalam ladang berkenaan.

"Susulan itu, dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun berjaya ditahan, manakala dua lagi melarikan diri.

"Kami turut merampas lori, sebatang cok sawit, sebatang galah besi panjang, tiga mata pisau pemotong sawit dan 39 tandan sawit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat, pihaknya menahan dua lagi suspek secara berasingan di kawasan Pantai Remis pada 2 pagi, Rabu lalu.

"Dua lelaki berusia 40-an yang ditahan itu adalah suspek yang melarikan diri ketika kejadian.

"Hasil soal siasat ke atas keempat-empat suspek, seorang lagi lelaki berusia 50-an dipercayai rakan sejenayah yang menjalankan urusan jual beli hasil daripada curi sawit berkenaan ditahan di sebuah ladang sawit pada 6 petang, Rabu lalu," katanya.

Nor Omar berkata, semua tangkapan mengakui terbabit kira-kira 10 kes curi sawit di sekitar kawasan Kampung Bharu dan Ayer Tawar.

"Semua suspek direman tiga hari sehingga hari ini dan akan disambung reman bagi siasatan lanjut untuk menyelesaikan kes kecurian sawit lain yang dilaporkan hilang," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 10:02 PM