Penjaja, peniaga pasar pagi dibenar beroperasi dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. FOTO ihsan MPK
Penjaja, peniaga pasar pagi dibenar beroperasi dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. FOTO ihsan MPK
Ruwaida Md Zain


Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) membenarkan aktiviti perniagaan bagi penjaja dan peniaga pasar pagi mula beroperasi bermula esok.

MPK memaklumkan, pihaknya mewajibkan semua peniaga dan penjaja di daerah Klang menyediakan termometer sendiri untuk menyukat suhu badan pelanggan.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, ketetapan itu bertujuan melatih peniaga dan penjaja mengamalkan displin kendiri di samping mengawal penularan Covid-19.

"Penjaja juga dikehendaki menyediakan QR code untuk diimbas oleh pelanggan atau menyediakan buku rekod kehadiran pelanggan.

"Bagi pasar pagi, pihak MPK akan menyediakan QR kepada setiap peniaga yang berniaga di tapak masing-masing.

"MPK amat mengutamakan keselamatan peniaga dan pelanggan, justeru itu penyediaan kawalan kendiri perlu diperkasakan terhadap semua peniaga sama," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, peniaga diwajibkan memasang tirai tembus pandang (saiz tirai bergantung kepada kesesuaian saiz gerai) di kiri dan kanan gerai masing-masing bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Beliau berkata, MPK akan melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

"MPK akan menutup mana-mana pasar dan perniagaan yang gagal mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 9:06 AM