HEROIN dan syabu yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
HEROIN dan syabu yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Hamzah Osman


KRU kapal layar dan kerani antara 12 tokan dadah yang ditahan di sebuah rumah di Kampung Paya Mengkuang, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kru kapal layar dan kerani yang masing-masing berusia 27 dan 24 tahun itu ditahan ketika leka membungkus dadah bersama 10 rakan mereka pada jam 11.30 pagi.

“Semua suspek berusia antara 24 hingga 45 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dibantu anggota Balai Kuah, Kuala Teriang dan Padang Matsirat.

"Turut dirampas dadah jenis heroin seberat 128.33 gram (g) dan syabu 7.7g dipercayai untuk jualan sekitar Langkawi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ketika serbuan semua suspek sedang duduk menghadap sesama mereka dan cuba bertindak agresif, namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan pada badan suspek berusia 45 tahun menemui beg plastik dalam poket seluar yang di dalamnya berisi heroin anggaran berat 65gram.

“Paket plastik dan keratan straw mengandungi syabu seberat 7.7g dan heroin seberat 63.33g turut ditemui bertaburan di lantai," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua lelaki terbabit positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 9:21 AM