LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Adnan Ibrahim


Kluang: "Remuk hati saya apabila nampak cucu terbaring tidak bernyawa selepas tercampak keluar dari kereta," kata R Batumalai, 56 yang kehilangan anak perempuan dan cucu dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 74.2 Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, Nagaranjini, 25 dan anaknya, G Varsha berusia lima bulan meninggal dunia manakala suami, B Guna, 40 dan seorang lagi anak lelakinya berusia enam tahun patah kaki kiri.

Menurut Batumalai, kejadian berlaku ketika Nagaranjini dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Rekamas di Simpang Renggam.

Katanya, Nagaranjini serta suami dan dua cucu datang ke rumahnya di Taman Seri Jaya di Renggam kira-kira jam 6 petang semalam untuk menyambut pesta Ponggal.

Katanya, mereka bergerak pulang Simpang Renggam yang terletak tidak sampai 10 kilometer dari rumahnya kira-kira jam 10.15 malam.

"Namun pada jam 10.45 malam, menantu menghubungi saya memberitahu mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan kira-kira 200 meter dari simpang masuk ke Taman Rekamas.

"Saya tidak sedap hati kerana Guna tidak memberi keadaan isteri dan anak-anaknya menyebabkan kami sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba saya terkejut dan hati remuk apabila melihat cucu berusia lima bulan itu terbaring tidak bernyawa di luar kereta," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Menurut Batumalai, dia kemudiannya mencari Nagaranjini dan sekali lagi dia tersentap apabila mendapati anaknya juga terkulai tidak bernyawa dalam kereta sebelum dikeluarkan anggota bomba.

"Kami sekeluarga tidak menyangka, kedatangan mereka ke rumah petang semalam sebagai kenangan terakhir menyambut pesta Ponggal," katanya.

Menurutnya, jasad anak dan cucunya akan dibawa pulang ke rumah di Renggam lewat petang ini selepas proses bedah siasat sebelum acara dikebumikan esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, kejadian berlaku apabila pemandu Perodua Myvi itu cuba mengelak sebuah kenderaan di sebelah kanan jalan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi kiri jalan,

Katanya, Nagaranjini dan bayinya, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

"Semua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita berkaitan

Ibu, anak maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 5:58 PM