GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pembayaran zakat pendapatan melalui potongan gaji menjadi penyumbang utama kepada kutipan zakat di negeri ini, tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kutipan zakat pendapatan diperoleh hasil potongan gaji adalah sebanyak RM99.1 juta.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kutipan zakat termasuk zakat pendapatan pada tahun lalu adalah RM184.9 juta.

"Maidam menyasarkan kutipan zakat RM190 juta tahun lalu, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19 dikuatkuasakan Mac tahun lalu, sasaran kutipan zakat berkurangan sebanyak RM5.1 juta.

"Walaupun kutipan zakat tidak mencapai sasaran, tetapi bantuan kepada golongan asnaf termasuk mereka yang dilanda musibah pelbagai bencana termasuk banjir akan diteruskan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin dan Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Zakat, Nazli Amirri Ngah.

Osman berkata, antara bantuan disalurkan kepada golongan asnaf menghadapi kekangan kewangan berikutan PKP pada Mac lalu adalah pembayaran awal bantuan kepada 2,356 penerima bantuan bulanan dan 1,675 penerima bantuan sara hidup berjumlah RM2.6 juta.

Beliau berkata, bantuan kecemasan wang tunai membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.6 juta kepada golongan asnaf turut disalurkan ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 1.0 pada November lalu.

"Bagi membantu kerajaan mengurangkan penularan pandemik Covid-19 ketika PKPB 1.0 November lalu, Maidam turut membelanjakan RM3.7 juta untuk membekalkan silinder komposit gas petroleum cecair (LPG) yang berkapasiti 14 kilogram bernilai RM155 setiap unit kepada 24,000 asnaf.

"Maidam turut memperuntukkan RM9.6 juta untuk membantu meringankan beban 24,000 golongan asnaf yang terkesan susulan PKPB 2.0 seperti diumumkan kerajaan, Selasa lalu.

"Walaupun perbelanjaan bagi membantu golongan asnaf yang menghadapi kekangan kewangan melebihi kutipan zakat, kami menggunakan sumber pendapatan lain termasuk sewaan aset milik Maidam bagi menampung perbelanjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:51 PM