M Rozi Bidin (kanan) menyampaikan tong gas memasak kepada Ramlah pada program menyantuni golongan asnaf di Kampung Beladau Kolam, hari ini. FOTO Baharom Bakar
M Rozi Bidin (kanan) menyampaikan tong gas memasak kepada Ramlah pada program menyantuni golongan asnaf di Kampung Beladau Kolam, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Redah lumpur dan melalui titian batu bata untuk menghantar tong gas memasak kepada golongan asnaf terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Usaha itu dilakukan pegawai Unit Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) bagi membantu kerajaan mengurangkan jangkitan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat termasuk golongan asnaf.

Walaupun hanya menghantar satu tong gas memasak yang bernilai RM155 seunit, penghantaran itu antara kaedah terbaik bagi mengelak masyarakat keluar rumah terutama bagi mendapatkan bahan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin berkata, gas memasak antara barangan keperluan utama dikenal pasti untuk kegunaan masyarakat.

Beliau berkata, Maidam meluluskan peruntukan RM3.7 juta untuk membekalkan 24,000 unit silinder komposit (LPG) berkapasiti 14 kilogram kepada Ketua Isi Rumah (KIR) golongan asnaf di seluruh negeri.

"Bantuan berupa gas memasak itu diluluskan atas keprihatinan dengan nasib golongan asnaf yang terkesan dengan situasi terkini Covid-19, susulan PKPB dilaksanakan sehingga 6 Disember depan.

"Pegawai dan anggota unit zakat seluruh negeri dikerah menghantar terus gas memasak itu ke rumah asnaf sebagai mematuhi arahan PKPB yang meminta orang ramai mengurangkan pergerakan dan duduk di rumah," katanya ketika mewakili Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda pada program menyantuni golongan asnaf di Kampung Beladau Kolam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Maidam Property Sdn Bhd, Wan Farid Imran Wan A Latif dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amiiri Ngah.

M Rozi berkata, penghantaran tong gas memasak ke rumah asnaf itu akan dilakukan secara berperingkat.

"Walaupun proses penghantaran itu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk meredah air dan jalan berlumpur, kami akan pastikan gas memasak itu selesai diagihkan ke kediaman asnaf sebelum akhir tahun ini.

"Golongan asnaf yang menerima bantuan gas memasak itu adalah penerima bantuan bulanan dan bantuan persekolahan Maidam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 4:44 PM