JEFF Ooi hadir di Pejabat Polis Daerah Timur Laut. FOTO Danial Saad
JEFF Ooi hadir di Pejabat Polis Daerah Timur Laut. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini


Georgetown: Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini untuk membantu siasatan berhubung Tweetnya mengenai kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din, 2.40 petang tadi.

Ooi hadir ditemani peguamnya RSN Rayer yang juga ADUN Seri Delima daripada DAP.

Dia kelihatan tenang sebelum memasuki bangunan berkenaan dan enggan memberi sebarang komen apabila media cuba mendapatkan komennya.

Ooi dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung tweet ditulisnya yang menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

Pada 16 September lalu Ooi menulis: 'Adios. Let there be peace' di akaun Twitter miliknya apabila berita kematian Haron tersebar.

Berikutan itu, sejak itu lima laporan polis dibuat ke atas Ooi kerana didakwa bersikap biadap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudian meminta Ooi menyerah diri kepada polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengakui Ooi tidak sensitif dan meminta maaf kepada keluarga Haron.

Guan Eng juga berkata, kenyataan Ooi tidak menggambarkan pendirian parti itu terhadap bekas Mursyidul Am PAS berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 5:15 PM