MANGSA anggota tentera cedera selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh babi di Batu 6, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO ihsan Awam
MANGSA anggota tentera cedera selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh babi di Batu 6, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO ihsan Awam
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang anggota tentera terpaksa menerima 13 jahitan pada bahagian kening apabila motosikal ditunggang dirempuh seekor babi hutan di Batu 6, Jalan Pantai Teluk Kemang di sini.

Dalam kejadian jam 9 malam tadi, mangsa berusia 31 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Sunggala di sini.

Saksi kejadian, R Gopi Krishnan, 49, berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah.

Namun dia terkejut apabila melihat seekor babi hutan meluru ke tengah jalan raya sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

"Babi itu sangat besar. Haiwan liar itu mungkin panik apabila melihat banyak kenderaan di situ sebelum bertindak merempuh mangsa.

"Akibatnya mangsa tergolek jatuh dan saya terus memberhentikan kenderaan untuk membantunya. Orang ramai yang ada di lokasi pun turut membantu mangsa dengan menghubungi ambulans," katanya tadi.

Menurutnya, mangsa terus dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan susulan kecederaan terkoyak pada dahi dan kening.

Katanya, mangsa memberitahu keadaannya stabil namun terpaksa menerima 13 jahitan pada bahagian kening.

Gopi Krishnan berkata, kehadiran babi hutan di kawasan berkenaan bukan perkara baharu dan ramai penduduk kerap terserempak haiwan liar itu di jalan raya.

"Saya harap ada tindakan diambil pihak bertanggungjawab. Saya bimbang kejadian sama berulang dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:46 PM