FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Mamat


Melaka: Hanya 45 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain lima jemaah dibenarkan untuk solat fardhu.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, berkata, solat Jumaat pada 15 Januari dan 22 Januari depan juga boleh diteruskan di semua surau yang diberikan kebenaran sementara sehingga satu pengumuman diberikan kelak.

"Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan bahawa kehadiran jemaah ke masjid dan surau yang dibenarkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)

"Selain itu, pelaksanaan ceramah umum, kelas pengajian agama dan kelas al-Quran ditangguhkan dalam tempoh PKP ini," katanya tadi.

Mengulas lanjut, Jabatan Mufti negeri akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan nasihat daripada KKM.

"Perincian lengkap berhubung aktiviti program dan kelas pengajian di masjid dan surau di negeri ini hendaklah merujuk kepada arahan yang dikeluarkan dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)," katanya.

Abdul Halim berkata, setiap pengumuman mengenai pelaksanaan ibadah dan aktiviti keagamaan di Melaka akan dibuat berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa negeri.

Katanya, setiap pengumuman juga akan disalurkan kepada seluruh negeri menerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).

"Saya harap masyarakat, khususnya umat Islam dapat mematuhi SOP ketika berada di masjid atau surau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:26 PM