Tinjauan beberapa kawasan tumpuan di Bandaraya Kuala Lumpur sebelum dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana tengah malam semalam bermula 13 sehingga 26 Januari bagi membendung penularan wabak Covid19 yang semakin meningkat. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Tinjauan beberapa kawasan tumpuan di Bandaraya Kuala Lumpur sebelum dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana tengah malam semalam bermula 13 sehingga 26 Januari bagi membendung penularan wabak Covid19 yang semakin meningkat. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengisytiharan Proklamasi Darurat diharapkan mampu menurunkan kes harian positif Covid-19 yang kini kekal pada empat angka.

Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, terdapat kebarangkalian kes akan menurun apabila kurangnya risiko pendedahan melalui aktiviti kontak fizikal.

Beliau berkata, aktiviti kontak fizikal yang dapat dihadkan itu antaranya perhimpunan ramai serta merentas negeri.

"Namun, kesannya memerlukan sedikit masa memandangkan tempoh inkubasi virus adalah sekitar lima hingga 14 hari.

"Ini bermaksud, mereka yang sudah terdedah sekitar dua minggu lalu masih berpotensi positif dalam tempoh PKP ini.

"Kesan daripada PKP ini akan dapat dilihat pada tempoh di hujung PKP ini dan tempoh seterusnya," katanya.

Oleh itu, menurut beliau, penting bagi semua pihak untuk mematuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh dua minggu PKP ini.

"Menerusinya, ia dapat menilai sejauh mana keberkesanan tindakan drastik ini diambil bagi menurunkan bilangan dan kadar jangkitan Covid -19," katanya.

Semalam, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat selepas mengambil kira rundingan baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Ia antaranya mengambil kira keselamatan rakyat serta kepentingan negara dan berdasarkan statistik semasa Covid-19 yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Ia dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka positif Covid-19 harian terkawal.

Terdahulu, kelmarin, Muhyiddin mengumumkan PKP untuk tempoh 14 hari bermula hari ini hingga 26 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 4:30 PM