ISTANA Negara. FOTO arkib NSTP
ISTANA Negara. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibuat selepas mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Selain itu, ia turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara dan berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan logistik mengikut negeri dipersembahkan ketika sesi taklimat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata,

pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula 5.30 petang semalam, Tan Sri Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

"Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)demi keselamatan dan kepentingan bersama," katanya dalam kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang ditetapkan kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang dipamerkan semasa pelaksanaan PKP pada tahun lalu, negara mampu sekali lagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan berkesan.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.

"Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

"Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi dari segala bentuk ancaman dan wabak ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

"Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Agong perkenan darurat sehingga 1 Ogos 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 10:24 AM