MAZUKI (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan ayam laga yang dirampas dalam serbuan diladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MAZUKI (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan ayam laga yang dirampas dalam serbuan diladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Penjawat awam antara 31 kaki judi laga ayam yang ditahan dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat berkata, serbuan yang dilakukan pada 3 petang turut merampas 32 ekor ayam sabung termasuk lima ekor yang sudah mati, wang tunai dan pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai RM150,000.

Menurutnya, pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM91,570 dipercayai digunakan dalam pertaruhan itu.

"Difahamkan, setiap pertaruhan atau pemain mempertaruhkan RM11,000 untuk perlawanan laga ayam dalam gelanggang dan ia tidak termasuk pertaruhan di luar gelanggang oleh penonton.

"Terdapat lebih 150 kaki judi berada di lokasi itu, namun hanya 31 individu berjaya ditahan dan selebihnya berjaya meloloskan diri," katanya ketika sidang media di IPD Kerian, hari ini.

Menurutnya, semua kaki judi yang ditahan berusia antara 27 hingga 68 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan selanjutnya.

"Kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran judi laga ayam yang dibuat di ladang kelapa sawit sejauh hampir empat kilometer dari jalan utama dan difahamkan penganjurnya bukanlah penduduk tempatan.

"Kegiatan itu memang sudah lama dipantau selepas ia dikesan beroperasi sejak November lalu, namun lokasinya sering berubah-ubah.

"Bagaimanapun, hasil penyamaran dan intipan yang dilakukan berjaya membongkar aktiviti perjudian dalam skala besar itu," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 3 (1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 dan Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 5:06 PM