Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir gelombang kedua di Johor terus bertambah apabila 3,603 orang membabitkan 998 keluarga ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah, setakat jam 4.30 petang ini.

Ia berbanding hanya seramai 3,283 orang membabitkan 909 keluarga, tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata Kluang adalah daerah terbaharu dan keenam terjejas banjir gelombang kedua di negeri selepas Kota Tinggi, Johor Bahru, Segamat, Mersing dan Kulai.

Katanya, Kota Tinggi kekal sebagai daerah paling terjejas dengan mangsa banjir melonjak naik kepada 2,219 orang daripada 594 keluarga di 23 PPS petang ini, berbanding hanya 1,907 orang daripada 509 keluarga, tengah hari tadi.

"Johor Bahru pula mencatatkan penurunan mangsa banjir kepada seramai 1,104 orang daripada 331 keluarga di 13 PPS berbanding seramai 1,126 orang daripada 332 keluarga tengah hari tadi.

"Kulai pula kekal dengan 104 mangsa daripada 27 keluarga di dua PPS manakala Segamat pula menurun kepada 81 orang daripada 22 keluarga di dua PPS petang ini, berbanding seramai 94 orang mangsa membabitkan 26 keluarga sebelum ini.

"Kluang yang menjadi daerah keenam dan terbaharu terjejas banjir gelombang kedua di negeri ini merekodkan seramai 73 mangsa banjir daripada 17 keluarga di sebuah PPS yang baharu dibuka.

"Mersing pula menurun dengan 22 mangsa banjir daripada tujuh keluarga di sebuah PPS petang ini berbanding sebanyak 52 orang mangsa banjir daripada 15 keluarga pada jam 12 tengah hari," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning iaitu hujan lebat di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian, Mersing, Kluang dan Segamat, tengah hari tadi.

Sementara itu, sebanyak 10 laluan di tiga daerah ditutup setakat ini dengan tiga jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Jalan yang ditutup sepenuhnya akibat banjir adalah Jalan Haji Suhud, Taman Muhibbah, di Johor Bahru, Jalan Tanah Abang, di Mersing dan Jalan Felda Semenchu, berhampiran Simpang Semenchu di Kota Tinggi.

Tujuh lagi laluan ditutup kepada kenderaan ringan di Kota Tinggi akibat dinaiki air iaitu Jalan Kota Tinggi-Mersing di LGM, Jalan Kota Tinggi-Kluang di Batu 25, Jalan Kampung Lukut Cina-Kampung Batu 4 di Taman Aman selain dua laluan Jalan Tai Hong di Taman Scientex serta Orkid, Jalan Sungai Telor dan Jalan Mawai Lama.

KEADAAN Kampung Kelantan di Kota Tinggi masih dinaiki air banjir selepas hujan di Kota Tinggi beberapa hari lalu. FOTO Zain Ahmed
KEADAAN Kampung Kelantan di Kota Tinggi masih dinaiki air banjir selepas hujan di Kota Tinggi beberapa hari lalu. FOTO Zain Ahmed

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, penduduk di kawasan terjejas banjir diminta sentiasa berwaspada berikutan cuaca masih dalam keadaan tidak menentu.

"Patuhi arahan pihak berkuasa yang mengarahkan berpindah ke PPS atau pun tidak melalui laluan ditutup sebagai langkah keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 4:46 PM