Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Hanya kerana mahu untung lumayan dengan menjual semula telefon pintar iPhone XS Max yang dibeli pada harga RM200 seunit, seorang jurujual wanita kerugian RM2,600 selepas diperdaya sindiket penjualan telefon bimbit berjenama dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 19 tahun melihat iklan jualan iPhone pada harga RM200 seunit di laman sosial Instagram pada November tahun lalu.

"Mangsa yang tertarik lalu berminat membeli 13 unit iPhone XS Max dan berurusan dengan seorang individu dipercayai warga Indonesia.

"Dia seterusnya membuat bayaran berjumlah RM2,600 dengan tidak mengesyaki bahawa dirinya terjerat dengan sindiket penipuan alam maya.

"Jurujual itu akhirnya sedar ditipu apabila masih tidak menerima iPhone yang dibelinya sehingga kini lalu membuat laporan polis, semalam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, seorang pekerja swasta kerugian RM11,130 selepas diperdayakan sindiket penyamaran sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui panggilan telefon.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa wanita berusia 31 tahun diperdaya selepas menerima panggilan daripada individu terbabit memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM11,600.

"Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan menyatakan mangsa juga terbabit dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudian panik lalu mengikuti semua arahan suspek yang memintanya memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia dan mengisi maklumat perbankan miliknya untuk tujuan siasatan.

"Selepas itu, mangsa mendapati wang dalam akaun banknya berkurangan sebanyak RM11,130 melalui transaksi yang dipercayai dilakukan oleh suspek lalu datang membuat laporan polis, semalam," katanya.

Katanya, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 5:20 PM