Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Kami sudah boleh menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira walaupun tidak semahir murid sekolah," kata Paridah Anjang, hari ini.

Paridah, 44, antara 25 ibu bapa Orang Asli tamat mengikuti Kelas Pendidikan Literasi Fungsian Orang Asli (PLFOA) selama dua bulan di Pos Tuel, dekat sini.

Kelas 3M itu projek perintis Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk membimbing ibu bapa Orang Asli yang buta huruf di pedalaman daerah ini.

Paridah berkata, dia tidak pernah bersekolah sebelum ini dan sukar untuk mengajar anak membaca dan menulis di rumah kerana buta huruf.

Menurutnya, selama dua bulan mengikuti kelas PLFOA, dia dapat ilmu membaca, menulis dan mengira tetapi belum mahir sepenuhnya.

"Saya akan melatih diri untuk membaca dan menulis di rumah pula supaya terus mahir bagi memudahkan mengajar anak pula.

"Saya gembira kerana ada pihak khususnya Kemas mengadakan kelas perintis PLFOA untuk membuka minda Orang Asli dewasa.

"Diharapkan kelas seumpama itu terus dibuka tahun depan di pos ini dan di kampung Orang Asli lain yang masih ramai buta huruf," katanya.

Guru Kelas Perintis PLFOA Kemas Pos Tuel, Nor Haslina Halim, 28, berkata, kelas 3M itu mendapat sambutan ibu bapa Orang Asli berumur antara 27 hingga 55 tahun.

Katanya, mereka tidak pernah ketinggalan hadir setiap hari di kelas terbabit kerana berazam mahu belajar membaca, menulis dan mengira sehingga pandai.

"Sejak mula mendaftar diri dan mengikuti kelas itu sudah banyak memberi perubahan dalam ilmu membaca dan menulis.

"Tetapi, agak kurang mahir sikit di bidang mengira yang perlu melatih diri ketika berada di rumah dengan menyediakan buku latihan," katanya.

Ibu bapa Orang Asli mengikuti kelas dewasa 3M projek perintis Kemas di Pos Tuel.  FOTO / RAMLI IBRAHIM
Ibu bapa Orang Asli mengikuti kelas dewasa 3M projek perintis Kemas di Pos Tuel. FOTO / RAMLI IBRAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 6:52 PM