GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Khidir Zakaria


Rembau: Pekerja ladang warganegara Indonesia ditembak majikannya selepas disangka babi liar, dalam kejadian di sebuah ladang di kawasan Kota di sini, semalam.

Lelaki itu yang berusia 30-an cedera di paha dan kaki kiri, dirawat di Hospital Tampin serta dilapor stabil.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kejadian berlaku pada 6 petang ketika pemilik ladang berusia 70-an didakwa melihat kelibat yang disangka babi liar di bawah pokok nangka.

Katanya, suspek menyangka haiwan itu mahu makan buah nangka yang gugur serta menembak menggunakan senapang.

"Suspek melepaskan satu tembakan menggunakan senapang 'shotgun' jenis Bennely miliknya sebelum mendengar mangsa menjerit dan menghampiri lokasi itu.

"Dia mendapati pekerjanya terkena tembakan di kaki dan segera menghantarnya ke Hospital Tampin. Mangsa stabil dan menjalani pembedahan mengeluarkan peluru penabur," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai lesen pemilikan senjata api dan dan ditahan bersama selaras senapang, beg sandang hitam, buku lesen memiliki senjata dan 17 butir peluru penabur.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan pihak mempunyai maklumat diminta melaporkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Ramlah Alidin di talian 011-10944096 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau 06-6851999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 3:11 PM