FOTO hiasan
FOTO hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Tindakan kerajaan negeri Pahang mengeluarkan notis pengusiran terhadap pekebun durian Musang King di Raub bukan dilakukan secara semberono.

Sebaliknya, ia dilakukan untuk memastikan semua tanah milik kerajaan negeri yang diteroka secara haram sama ada untuk pertanian, perumahan atau sektor perindustrian diambil kembali demi memacu kegemilangan negeri ini khususnya daripada sudut ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, seperti isu penerokaan tanah Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands, ketegasan kerajaan negeri sewajarnya diteruskan di Raub dan selepas ini di seluruh negeri itu.

Katanya, pekebun durian Musang King di Raub tiada hak untuk menentang usaha kerajaan negeri kerana mereka secara terang menceroboh tanah kerajaan negeri.

"Tanah itu merupakan hak kerajaan negeri dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengambil tindakan.

"Ia juga menjadi hak kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pencerobohan tanah di Raub.

"Semoga isu berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menceroboh tanah kerajaan secara haram," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Semalam. Mahkamah Tinggi di sini, menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak berkenaan dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial.

Susulan keputusan itu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bersyukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Justeru, beliau berkata, operasi penguatkuasaan pengosongan tanah ditanam pokok durian Musang King akan dilaksanakan pada bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 3:21 PM