SEBAHAGIAN pengusaha kebun durian terutama Durian Musang King Raub, berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, untuk menyerahkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos lalu. FOTO Arkib NSTP
SEBAHAGIAN pengusaha kebun durian terutama Durian Musang King Raub, berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, untuk menyerahkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos lalu. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuantan: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 23 Disember ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman oleh 204 pekebun durian Musang King di Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, terhadap arahan kerajaan negeri Pahang supaya mengosongkan kebun mereka.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menetapkan tarikh itu pada prosiding hari ini, yang dijadualkan untuk keputusan permohonan berkenaan, namun terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu memandangkan beliau berhasrat mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak selepas wujud kekeliruan dalam permohonan tersebut.

"Permohonan asal melibatkan 110 pekebun yang difailkan pada 21 Ogos lalu sebelum mahkamah dimaklumkan bahawa terdapat permohonan kedua yang difailkan oleh 94 pekebun kira-kira sebulan selepas permohonan pertama, iaitu 9 Disember lalu.

"Saya telah mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan pertama dan saya difahamkan peguam pemohon dan pihak responden bersetuju supaya keputusan terhadap permohonan pertama terpakai kepada permohonan 94 pekebun.

"Mahkamah memerlukan kepastian kerana apabila saya menyemak fail, tiada sebarang afidavit atau hujahan yang difailkan oleh pihak-pihak berhubung permohonan kedua. Perkara ini perlu disahkan sebelum mahkamah membuat keputusan," katanya.

Sehubungan itu, peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua pekebun terbabit dan Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak yang mewakili responden mengesahkan mereka bersetuju afidavit dan hujahan permohonan pertama juga terpakai kepada permohonan terbaharu kerana membabitkan subjek sama.

Pada prosiding itu, Siew juga memohon supaya perintah penggantungan sementara yang diperoleh semua pekebun ditambah bagi memasukkan nama responden kelima iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) kerana mendakwa ada pemohon menerima notis pengosongan tanah daripada agensi itu.

"Perintah penggantungan yang diperoleh sebelum ini adalah untuk responden pertama dan kedua iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub serta Pengarah Perhutanan Pahang. Bagaimanapun, PKPP ada mengeluarkan notis pada 1 Dis lalu untuk sebahagian anak guam mengosongkan tanah selewat-lewatnya pada hujung tahun ini selain turut memasang papan tanda menyatakan tanah itu milik PKPP," katanya.

Noor Fadzila bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan PKPP selaku pemilik tanah mempunyai bidang kuasa bagi mengeluarkan notis tersebut, selain tindakan terhadap mereka yang enggan mengosongkan tanah hanya akan bermula pada 1 Januari 2021 iaitu selepas pekebun mengetahui nasib mereka dalam permohonan tersebut.

Zainal Azman bersetuju dan memutuskan bahawa lanjutan perintah penggantungan sementara itu kekal kepada dua responden pertama sehingga mahkamah membuat keputusan.

Selain Pentadbir Tanah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan PKPP, 204 pemohon juga menamakan pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan kebun mereka.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 3:13 PM