Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Kuala Lumpur

Sebanyak 90 peratus daripada pencarum kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos sara hidup selepas lima tahun bersara.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, maklumat itu diperolehi daripada laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 yang dikeluarkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

Katanya, kos tempat tinggal, makan minum dan perubatan antara faktor mendorong menambah tekanan kepada golongan tua atau warga emas di hari kelak.

“Masalah peningkatan kadar penuaan di kalangan penduduk di negara ini bukan sahaja menjejaskan warga tua, malah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara

“Negara seharusnya memanfaatkan warga emas yang kian meningkat dan membuat persediaan awal menempuh negara tua.

“Negara yang mempunyai 15 peratus warga emas daripada keseluruhan penduduk adalah negara tua dan individu berusia 60 tahun ke atas adalah warga emas,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Seminar Realiti Masyarakat Menua: Punca dan Cabarannya di Malaysia, di Dewan Besar IKIM, di sini, semalam.

Seramai 100 peserta daripada pelbagai jabatan kerajaan dan swasta hadir pada seminar selama dua hari bermula semalam, anjuran IKIM dan dirasmikan Nik Mustapha.

Dalam pada itu Nik Mustapha berkata, dalam satu laporan dikeluarkan PBB pada 2012, terdapat 2.43 juta atau lapan peratus warga emas di Malaysia dan dijangka meningkat 20 peratus pada 2050.

“IKIM mengambil inisiatif menganjurkan persidangan ini bagi membincangkan topik ini secara serius dan mencari pendekatan terbaik menghadapi cabaran ini,” katanya.

Menurutnya, di negara barat, selain daripada kebimbangan pertumbuhan ekonomi, peningkatan bilangan warga tua dilihat sebagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos perbelanjaan awam.

“Kebimbangan ini asasnya kerana ketidakseimbangan dalam peningkatan warga tua yang tidak bekerja berbanding golongan penduduk yang aktif bekerja menyebabkan kos perbelanjaan pencen serta perubatan dan penjagaan bertambah,” katanya.

Beliau menambah, kesan kualiti hidup terjejas kerana pihak kerajaan tidak mampu mengekalkan keseimbangan antara perbelanjaan awam dan hasil pungutan cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:03 AM