Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Kolej Vokasional Kota Tinggi di sini, tengah hari tadi.

Muhyiddin tiba di PPS berkenaan tepat jam 12 tengah hari diiringi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Menteri Perpaduan Negara.

Muhyiddin dibawa ke taklimat banjir Kota Tinggi yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail, sebelum terus melawat mangsa banjir yang ditempatkan di dewan kolej berkenaan.

Beliau turut menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di dewan kolej berkenaan selain bertanya khabar dan meminta mereka bersabar terhadap musibah yang melanda.

Perdana Menteri menghabiskan masa hampir satu jam di Kolej Vokasional Kota Tinggi sebelum meninggalkan PPS itu bagi meninjau pula PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana Kota Tinggi.

PPS di Kolej Vokasional Kota Tinggi dilaporkan mula dibuka pada jam sejak semalam menempatkan 126 mangsa banjir membabitkan 28 keluarga dari Taman Kota Jaya.

Sementara PPS di SK Laksamana pula menempatkan 156 mangsa banjir melibatkan 35 keluarga dari Taman Aman, Batu 25 dan Taman Mawai.

Mangsa banjir di negeri ini dilaporkan menurun 5,485 orang daripada 1,408 keluarga di 53 PPS di tujuh daerah, setakat jam 8 pagi ini berbanding 5,524 orang daripada 1,442 keluarga, malam tadi.

Kota Tinggi dan Kluang kekal sebagai dua daerah paling terjejas dengan 4,657 mangsa ditempatkan di 35 PPS.

Walaupun mangsa banjir di Johor menurun namun di Kota Tinggi, angkanya kekal 2,707 orang daripada 682 keluarga.

Sementara itu, mangsa banjir, Fazila Hamdan, 29, berterima kasih dengan keprihatinan Perdana Menteri yang sudi meninjau mangsa banjir di Kota Tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taman Kota Jaya, Kota Tinggi. FOTO ZAIN AHMED
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taman Kota Jaya, Kota Tinggi. FOTO ZAIN AHMED

Beliau yang sarat mengandung enam bulan ditempatkan di situ bersama suaminya, Shahabuddin Sakiman, 34, dan tiga anak perempuannya yang berusia 3,4 dan 7 tahun.

"Alhamdulillah, Perdana Menteri sudi bertanya khabar keluarga saya. Beliau meminta keluarga saya bersabar terhadap musibah ini.

"Perdana Menteri turut bertanya keadaan saya selain bertanya tentang keadaan di PPS ini termasuk kemudahan dan bantuan yang disalurkan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 1:28 PM