Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Jenazah legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Namat Abdullah, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazahnya dibawa dari kediaman Allahyarham di Taman Peruda dengan van Pusat Latihan Penjara Perak ke Masjid Al Abra Taman Peruda, di sini, pada 10 pagi untuk disembahyangkan dan dikebumikan pada 11.26 pagi tadi.

Beberapa bekas pemain bola sepak negara yang juga rakan seperjuangannya hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang amat disegani ketika hayatnya.

Allahyarham yang juga bekas kapten bola sepak kebangsaan itu terkenal di rantau Asia sebagai pemain pertahanan.

Namat menghembuskan nafas terakhir di rumah anaknya di Kamunting, Perak akibat penyakit barah usus dan angin ahmar pada 5.30 petang semalam.

Lahir pada tanggal 30 Mac 1946, Namat menyarung jersi negara dari 1968 hingga 1975 di mana bekas kapten Harimau Malaya itu turut menganggotai skuad Olimpik Munich 1972 dan Sukan Asia Teheran 1974.

Memulakan kerjayanya dengan Marines Sports Club di Pulau Pinang, Namat dikenali dengan rembatan deras dan lontaran ke dalam sejauh ke dalam petak penalti sepanjang kerjayanya sebagai pemain pasukan Penjara, Pulau Pinang dan Malaysia.

Allahyarham pada awal kariernya bertindak selaku penggempur ketika membantu Pulau Pinang menjuarai Piala Burnley pada 1965 sebelum ditukarkan sebagai bek kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 1:23 PM
Bintang lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Namat Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kelisa. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Bintang lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Namat Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kelisa. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI