Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2020, hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2020, hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan negeri ini mencontohi pendekatan Estonia dan Korea Selatan untuk mencapai status Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, Estonia mencapai status sebagai negara maju apabila rakyat negara itu diakui sebagai masyarakat digital yang paling maju di dunia.

Beliau berkata, Korea Selatan pula menempa kejayaan kerana pendekatannya yang strategik dalam pendidikan, sains dan teknologi, inovasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Kita juga sedang berusaha untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri digital dengan mengutamakan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan dan jika Estonia sebagai sebuah negara kecil di Eropah boleh berjaya dalam penggunaan digital, saya percaya Sarawak juga boleh melakukannya.

"Korea Selatan pula suatu ketika dahulu, berada di belakang Malaysia, namun kini negara itu jauh di depan walaupun tidak memiliki sumber semula jadi. Ini kerana mereka mengamalkan budaya inovasi dan budaya teknologi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion and Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Mohd Shahabuddin Omar.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai kelebihan untuk mencapai status itu kerana kaya dengan sumber semula jadi.

Justeru, katanya, Estonia dijadikan contoh dalam mengaplikasi teknologi dan mencontohi Korea Selatan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

"Jika kita menggabungkan kedua-duanya dan memanfaatkan kekayaan sumber alam semula jadi, saya yakin Sarawak dapat mencapai status negeri maju pada 2030," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 2:38 PM