DATUK Saarani ketika memberikan kenyataan dalam sidang media selepas menghadiri sesi taklimat Belanjawan Negeri Perak 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini, hari ini. FOTO Muammad ZulSyamini Sufian Suri
DATUK Saarani ketika memberikan kenyataan dalam sidang media selepas menghadiri sesi taklimat Belanjawan Negeri Perak 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini, hari ini. FOTO Muammad ZulSyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sesi taklimat Belanjawan Negeri Perak 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini, hari ini dihadiri hampir semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) membabitkan pihak kerajaan serta pembangkang.

Menteri Besar Datuk Saarani Moahamad berkata, berbeza dengan tahun sebelumnya, taklimat kali ini diberikan lebih awal iaitu sehari sebelum belanjawan itu dibentangkan petang esok bagi memberi maklumat awal agar perbahasan mengambil kira fakta serta angka diberikan.

"Harapan saya agar Adun yang terbabit membahaskan belanjawan itu nanti dapat memberikan pandangan balas berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Pegawai Kewangan Negeri serta Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak dalam taklimat ini.

"Sesi yang diawalkan ini juga dapat memberi ruang waktu kepada mana-mana ADUN yang mengambil bahagian dalam perbahasan untuk gunakan sedikit-sebanyak fakta yang diberikan berkaitan tujuan bajet itu dibentangkan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat itu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kandungan penuh belanjawan itu masih di tahap embargo shingga dibentangkan secara rasmi hari ini.

Menurutnya, taklimat seperti ini juga dibuat oleh pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini namun kebiasaannya ia dilakukan selepas belanjawan dibahaskan selain membabitkan Adun kerajaan atau wakil.

Dalam sidang media itu juga, Saarani turut mengambil kesempatan menjelaskan kekeliruan membabitkan laporan beberapa akhbar mengenai kenyataannya berhubung perlantikan wakil dari masyarakat Cina dan India dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, beliau menafikan dakwaan tiada keperluan bagi melantik kaum Cina dan India dalam barisan Exco kerajaan negeri pimpinannya disebabkan wakil masyarakat berkenaan sudah berada dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Seperti yang saya nyatakan menerusi kenyataan itu, kaum Cina dan India sudah ada perwakilan di peringkat PBT serta kampung (Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung).

"Jadi (setakat sekarang) masyarakat Cina dan India tidak perlu sehingga ada penjawat di peringkat pentadbiran lebih tinggi kerana mereka sudah ada orang (wakil) di peringkat perlaksanaan.

"Saya fikir jawapan saya cukup jelas iaitu saya akan mengkaji terlebih dahulu jika ada keperluan. Saya tak kata tak perlu, sebaliknya saya akan kaji jika ada keperluan.

"Bermakna mungkin ada, mungkin tiada (perlantikan) kerana bergantung kepada penilaian serta kajian yang dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 3:13 PM