Eddin Syazlee Shith (tengah) menyampaikan bantuan dana kepada usahawan pertanian sambil disaksikan Abd Samad Ibrahim. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Eddin Syazlee Shith (tengah) menyampaikan bantuan dana kepada usahawan pertanian sambil disaksikan Abd Samad Ibrahim. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Oleh Mohd Amin Jalil

Kuala Pilah: Pembinaan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah yang membabitkan kos kira-kira RM200 juta dijangka bermula Jun atau Julai tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, projek pembinaan itu sudah mendapat kelulusan kerajaan.

Menurut beliau, tender membina blok berkenaan diluluskan baru-baru ini.

"Projek pembinaan blok hospital ini penting kerana HTAN ketika ini menerima jumlah pesakit yang tinggi, terutama dari kawasan Negeri Sembilan timur seperti Bahau, Gemas, Tampin dan Jelebu selain kawasan berhampiran Kuala Pilah.

"Malah ada kalanya pesakit dari Seremban dan Senawang turut dihantar ke HTAN berikutan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban yang sesak dan menerima jumlah pesakit yang tinggi.

"Manakala Hospital Rembau masih lagi baharu dan belum mampu menerima jumlah pesakit yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Projek Pembangunan Usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Ipoh dan Program Tuai Hasil Projek Fertigasi Meja di Kampung Sawah Liat di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti merangkap Pengerusi PPK Tanjong Ipoh Datuk Abdul Samad Ibrahim dan Pengurus Besar PPK Tanjong Ipoh Mohd Khairul Abd Rahim.

Mengulas lanjut, Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, menerusi pembinaan blok tambahan itu, ia membolehkan lebih banyak perkhidmatan doktor pakar dapat diadakan di HTAN.

"Selain itu, lebih banyak kemudahan rawatan untuk pesakit dapat disediakan di HTAN untuk kepentingan rakyat di Kuala Pilah khususnya dan rakyat Negeri Sembilan, amnya," katanya.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan usaha PPK berkenaan menjayakan pelbagai projek pertanian dan tanaman sayur-sayuran bagi membantu meningkatkan pendapatan ahli selain membantu meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara.

Eddin yang juga Penasihat PPK berkenaan berkata, projek tanaman sawi fertigasi meja itu adalah projek perintis di Kuala Pilah yang menggunakan konsep pertanian bandar.

"Ini inisiatif yang baik dalam usaha menyokong dasar kerajaan pada hari ini yang berusaha memastikan rakyatnya tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan dari luar terutama sumber makanan seperti sayur-sayuran," katanya.

Terdahulu, enam usahawan di bawah PPK Tanjong Ipoh menerima bantuan modal antara RM10,000 hingga RM80,000 bagi mengembangkan aktiviti ekonomi dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 3:34 PM