KEADAAN mayat lelaki yang dijumpai mati tergantung di pagar besi di tangki air di Taman Lukut Makmur, Lukut, Port Dickson. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN mayat lelaki yang dijumpai mati tergantung di pagar besi di tangki air di Taman Lukut Makmur, Lukut, Port Dickson. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Usaha seorang adik mencari abangnya yang hilang berakhir tragedi apabila abangnya itu ditemui dalam keadaan tergantung pada pagar besi di kawasan tangki air, Taman Lukut Makmur, Lukut di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu jam 9.20 malam tadi sebelum bergegas ke lokasi.

"Kami terima panggilan dilakukan seorang lelaki berusia 38 tahun memaklumkan abangnya tidak sedarkan diri di kawasan Tangki Air, Taman Lukut Makmur.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati tubuh lelaki itu dalam keadaan tergantung pada pagar besi tangki air. Terdapat kabel melilit pada leher mangsa," katanya.

Menurutnya, adik mangsa memaklumkan bahawa abangnya itu keluar dari rumah seorang diri pada jam 3 petang semalam.

"Adiknya cuba menelefon abangnya beberapa kali namun gagal. Dia kemudian pergi mencari abangnya di sekitar kawasan tangki air sebelum menjumpai abangnya dalam keadaan tergantung pada pagar besi.

"Punca kejadian masih dalam siasatan, namun keluarga mangsa memaklumkan lelaki itu tiada musuh atau berhutang," katanya.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

"Lelaki itu meninggalkan seorang balu berusia 35 tahun dan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:30 PM