WARGA emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun. FOTO Iqmal Haqim Rosman
WARGA emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat


Ayer Keroh: Lelaki warga emas berusia 72 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu jirannya dan melakukan ugutan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Halil Sairun, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun antara jam 11.30 pagi hingga jam 2.30 petang di sebuah rumah di Bukit Darat, Tanjung Kling di sini, 13 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, Mohd Halil didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dengan mengugut secara lisan ke atas Ahnah Denker, 70, dengan berkata: "Kalau kau cerita pada sesiapa, aku tuba semua keluarga kau."

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 12 tengah hari di lokasi sama pada 7 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, kanak-kanak itu dijaga oleh nenek saudaranya yang tinggal berjiran dengan tertuduh.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Peguam, Azrul Zulkifli Stork dan Haslinda Abu Bakar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan bagi kedua-dua pertuduhan dan meminta keluarga mangsa tidak membenarkan kanak-kanak itu berada berdekatan tertuduh, selain mengambil kira faktor usia anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan begitu juga sebaliknya.

Hakim menetapkan 18 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:01 PM