Razali menunjukkan telefon bimbit yang dirampas di premis yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan pelaburan di Bandar Putyeri, Puchong malam tadi. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Razali menunjukkan telefon bimbit yang dirampas di premis yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan pelaburan di Bandar Putyeri, Puchong malam tadi. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Lantik seorang 'jurulatih' dari China bagi memberi tunjuk ajar kepada pekerja bagi menarik pelabur dari negara berkenaan.

Itu helah digunakan sebuah syarikat konsultan di Bandar Puteri, Puchong di sini, yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan forex di China sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar dalam serbuan Op Nuri yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di pejabat syarikat terbabit kira-kira 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya membuat risikan di lokasi itu bermula 5 petang selepas menerima maklumat daripada orang awam yang mengesyaki ada kegiatan judi dalam talian di premis berkenaan.

"Risikan yang dilakukan beberapa jam di lokasi berkenaan mendapati terdapat jumlah pekerja yang ramai memasuki premis sepanjang tempoh berkenaan sebelum serbuan dilakukan.

"Ketika serbuan, terdapat 23 lelaki dan 15 wanita tempatan selain seorang wanita China berusia antara 20 hingga 37 tahun berada di premis berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 39 komputer, 23 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM30,800," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Razali berkata, semakan mendapati syarikat berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat 'telemarketing' dan menyewa premis berkenaan pada harga RM24,000 sebulan.

"Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati suspek warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai operator yang membuat panggilan kepada pelanggan di China bagi menyertai pelaburan disyaki forex menggunakan aplikasi sosial seperti WeChat.

"Semua pekerja warga tempatan itu diberi gaji antara RM2,000 hingga RM6,000 mengikut jawatan serta komisen diperoleh dengan masa bekerja bermula 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

"Sindiket berkenaan turut mengupah seorang wanita warga China berusia 37 tahun sebagai tenaga pengajar kepada pekerja bagi kaedah memujuk pelanggan menyertai pelaburan ditawarkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berhubung keuntungan yang diraih oleh sindiket berkenaan.

"Semua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana dipercayai melakukan penipuan serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Mereka (suspek) turut dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak mengamalkan penjarakan fizikal di dalam pejabat berkenaan.

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) No 8 (2020)," katanya.

Beliau menyeru kerjasama daripada orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan jenayah di daerah itu.

"Serbuan ini adalah hasil daripada maklumat orang awam yang mengesyaki kegiatan jenayah di premis berkenaani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 9:50 AM