AYOB Khan (tiga dari kiri) menunjukkan barang rampasan selepas menumpaskan kes penipuan pelaburan Forex secara dalam talian ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO BERNAMA
AYOB Khan (tiga dari kiri) menunjukkan barang rampasan selepas menumpaskan kes penipuan pelaburan Forex secara dalam talian ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


POLIS menahan 24 warga China yang disyaki dalang penipuan pelaburan forex dalam talian susulan serbuan ke atas tiga kondominium mewah di Iskandar Puteri, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan jam 4.30 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi penyelia kepada warga China berkenaan.

Katanya, suspek warga China membabitkan 19 lelaki dan lima wanita itu dipercayai memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat secara dalam talian.

“Kesemua suspek direman 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan, manakala suspek lelaki tempatan direman tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan, berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket berkenaan.

“Antara yang dirampas termasuklah 14 unit komputer riba, empat unit komputer, 84 unit telefon bimbit dan enam unit modem.

“Jumlah kerugian yang ditanggung mangsa juga masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya membuat laporan kepada polis jika terdapat kumpulan warga asing mencurigakan di kawasan perumahan mereka.

#kw forex, china, johor, tipu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 2:38 PM