ANTARA suspek yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
ANTARA suspek yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menahan 11 individu termasuk seorang wanita warga China yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di unit kondominium yang dijadikan pusat panggilan di Jalan Tun Razak, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan jam 12.15 tengah malam tadi.

"Hasil serbuan itu, kami menahan seorang wanita warga China, lapan lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 19 hingga 38 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian.

"Kami merampas 17 komputer riba, 103 telefon bimbit, dua router dan satu modem dianggarkan bernilai RM100,000 dalam serbuan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saiful berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mempromosikan kegiatan judi dalam talian kepada pelanggan warga China.

"Kami percaya premis itu sudah beroperasi sebagai pusat 'call centre' sejak Februari lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM10,000 setiap bulan.

"Setiap pekerja juga dipercayai menerima upah sebanyak RM3,000 sebulan selain menerima komisen untuk mendapatkan pelanggan yang disyaki meraih keuntungan sebanyak RM20,000," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Semua suspek direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) akta sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 5:37 PM