GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai imigresen, malam tadi kerana disyaki meminta rasuah RM22,000 bagi melepaskan dua warga China yang ditahan, Isnin lalu.

Difahamkan, dua warga China itu ditahan atas kesalahan menggunakan cap palsu.

Menurut sumber, pegawai berusia 26 tahun itu ditahan ketika menerima rasuah di stesen minyak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.45 malam.

Menurutnya, kes berkenaan tiada kaitan dengan Ops Selat, baru-baru ini, sebaliknya individu itu bergerak secara bersendirian dan biasa melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata, penahanan itu adalah lanjutan daripada tangkapan awal ke atas seorang ejen berusia 40 tahun di Cheras pada 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat, wang diterima ialah untuk seorang pegawai imigresen di KLIA.

"Modus operandi mereka ditahan itu adalah pegawai imigresen akan memberikan kepada ejen butiran warga China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA.

"Tugas ejen ialah menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta wang rasuah bagi melepaskan diri daripada tahanan imigresen.

"Keluarga berkenaan kemudian akan menghubungi rakan di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan menyerahkan kepada ejen terbabit," katanya.

Beliau berkata, isu rasuah di KLIA sudah menjadi pandemik dan amat membimbangkan memandangkan ia membabitkan keselamatan negara.

Menurutnya, pegawai korup yang bertugas di pintu masuk negara memudahkan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Malaysia.

Katanya, kini Pati tidak lagi perlu mengikut jalan tikus dan mengharungi lautan bergelora untuk masuk ke negara ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 2:32 PM